Jenis Cat Kereta

4 Jenis Cat Kereta

Setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza termasuklah dalam pemilihan cat kereta masing masing. Oleh itu, pelbagai jenis cat kereta ditawarkan untuk memenuhi setiap kehendak.

Setiap jenis cat kereta akan menawarkan penampilan yang berbeza dan boleh membezakan antara kereta yang mewah dan biasa. Terdapat juga jenis cat kereta yang murah dan mahal.

Pada masa kini, terdapat empat jenis cat yang ditawarkan iaitu:


1. Cat Warna Solid (Solid Paint)

Jenis cat ini adalah yang termurah dibandingkan dengan yang lain dan ia hanya cat asas yang tidak mempunyai sebarang campuran dan hanya disaluti lapisan jernih sebagai pelindung.

Walau bagaimanapun, kini kebiasaannya cat ini tidak lagi disaluti dengan lapisan jernih kerana ia menggunakan campuran cat acrylic dan isocynate menjadikan ia lebih kuat dan tahan lama.

Cara ini juga dapat mengurangkan kos proses. Namun, warna cat solid adalah agak kurang menarik kerana ia tidak berkilat oleh itu pilihan warna yang ditawarkan juga kurang pelbagai.

Antara warna yang biasa ditawarkan termasuklah putih, merah, biru, dan kuning. Proses baik pulih juga adalah murah dan mudah untuk jenis cat ini.

Namun, jenis cat solid ini sukar untuk bertahan lama dan mudah kusam dan pudar selain agak sukar untuk dicuci.


2. Cat Warna Metalik (Metallic Paint)

Jenis cat ini tidak mempunyai begitu banyak perbezaan dari cat solid di mana ia mempunyai serbuk logam. Disebabkan ini lah harga jenis cat ini lebih mahal berbanding cat solid.

Yang membezakan jenis, harga, dan kualiti cat ini ialah jenis, saiz, dan kandungan serbuk logaml yang dicampur ke dalam cat kerana inilah yang mempengaruhi kesan kilat cat tersebut.

Cat metalik adalah mudah dijaga dan dicuci juga keaslian warna asalnya tahan lama. Kesan calar juga sukar untuk dilihat dan pilihan warna jenis cat ini adalah amat pelbagai.

Jenis cat ini juga antara pilihan yang paling popular tanpa mengira jenis dan harga kenderaan tersebut.

Antara kesulitan cat ini ialah ianya agak sukar untuk mendapatkan warna yang benar benar sama jika memerlukan kerja baik pulih.


3. Cat Kilauan Mutiara (Pearlescent Paint)

Jenis cat ini ialah pilihan premium yang semakin popular. Berbanding cat metalik, jenis cat ini dicampurkan dengan kristal seramik dan bukannya serbuk logam.

Selain dari kesan berkilat, jenis cat ini boleh membiaskan cahaya dan menukar warna mengikut kecerahan atau warna cahaya, lengkuk badan kereta dan arah sudut pandangan.

Efek ini amat unik dan dramatik menyebabkan ramai tertarik dengan jenis cat ini. Warna yang ditawarkan juga pelbagai tetapi yang paling popular ialah warna putih mutiara.

Harganya agak mahal bergantung kepada jenis dan saiz kereta serta kualiti cat. Penjagaannya lebih kurang sama dengan cat metalik cuma lebih biasa digunakan oleh kenderaan mewah.


4. Cat Kemasan Kusam/Mati (Matte Finishes)

Jenis cat ini tidak sesuai digunakan oleh semua jenis kenderaan kerana boleh menyebabkan kenderaan kelihatan kurang menarik kerana sifatnya yang kusam dan tidak berkilat.

Cat ini lebih sesuai digunakan oleh kenderaan jenis berprestasi tinggi atau jenis sporty. Terdapat pelbagai jenis warna yang ditawarkan namun warna yang popular ialah hitam atau kelabu.

Jenis cat ini dicampurkan dengan kandungan epoxy atau kandungan PVC yang tinggi untuk mencapai efek tersebut yang boleh kelihatan amat menarik jika bersesuaian dengan kereta.

Cat mati ini adalah amat mahal dan boleh mencecah sehingga RM10K bergantung kepada kualiti kerana ia memerlukan kepakaran yang tinggi berbanding cat lain.

Penjagaannya juga amat leceh dan sebarang calar akan amat mudah kelihatan. Proses baik pulihnya juga adalah amat sukar berbanding yang lain. 


Post a Comment

0 Comments